Sunday, August 2, 2015

Dua maut terjunam dari jambatan


JELI: Dua maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam dari jambatan setinggi kira-kira 10 meter di Ki­lometer 102, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Kampung Sungai Mekong, di sini.

Kejadian tersebut hanya disedari kira-kira pukul 8.30 pagi ini oleh seorang penduduk kampung yang ternampak kereta jenis Proton Waja itu tersadai di tebing sungai dengan kedua-dua mangsa masih berada di dalamnya.

Mangsa, Nor Azman Murad, 53, serta Saulihin Ismail, 55, didapati meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Yusoff Jaafar berkata, anggota polis dikerahkan ke lokasi sebaik sahaja mereka menerima maklumat daripada orang awam.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kita dapati kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan daripada kende­raan tersebut yang berada di tebing Sungai Mekong oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jeli.

“Kenderaan tersebut dipercayai dalam perjalanan menuju ke Perak melalui lebuh raya ini dan kita percaya gagal dikawal lalu terhumban ke bawah jambatan selepas melanggar penghadang jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Yusoff berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat dan setakat ini polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian sama ada pemandunya mengantuk sebelum terbabas atau faktor lain.

“Kita percaya nahas berlaku beberapa jam sebelum kedua-dua mangsa ditemukan oleh penduduk kampung. Setakat ini kita belum dapat mengesahkan masa kejadian,” katanya.

0 comments:

Post a Comment