Thursday, August 6, 2015

UMNO Sungai Besar desak Muhyiddin letak jawatan Timbalan Presiden UMNO



Dalam kekalutan politik tanah air yang berlaku hari ini, beberapa Bahagian UMNO dilihat mengambil langkah drastik apabila membatalkan jemputan sebagai perasmi Mesyuarat UMNO Bahagian masing-masing tetapi UMNO Sungai Besar dilihat memanjangkan lagi pergeseran dalam UMNO degan mendesak Timbalan Presiden UMNO untuk meletak jawatan dan bersara dari arena politik.

Tindakan tersebut mengundang kemarahan akar umbi UMNO yang sayangkan parti.

Memetik portal Rakyat News, berikut merupakan pendirian UMNO Bahagian Sungai Besar berhubung status Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO : -

Saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, ingin memohon agar YB. Tan Sri Muhyiddin Yassin segera mengundur diri dari arena politik dengan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO secara terhormat.

Saya dapati YB. Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi relevan memimpin Parti UMNO kerana beliau telah dengan jelas tidak lagi sehaluan dengan YAB Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak, yang merupakan Presiden UMNO. Beliau telah memberi kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan pendirian YAB Presiden UMNO secara umum terutama dalam menangani isu 1MDB.

Beliau juga telah mengkritik YAB Presiden UMNO secara terang-terangan sehingga menyebabkan parti lawan mengambil kesempatan dan mensensasikan isu 1MDB dan Rombakan Kabinet baru-baru ini. Kenyataan-kenyataan beliau telah menyebabkan sokongan dan kepercayaan rakyat dan akar umbi parti merosot. Sekiranya beliau ikhlas ingin membantu parti, sudah pasti beliau bersungguh-sungguh untuk memperkukuh dan memperkuatkan parti. Tapi apa yang berlaku, beliau telah menyebabkan perpecahan dalaman parti.

YB. Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat gagal membantu YAB Presiden UMNO dalam menjalankan dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab terhadap parti. Tindakan-tindakan dan kenyataan-kenyataan beliau seolah-olah ingin menjatuhakan kredibiliti YAB Presiden UMNO dan juga seolah-olah mempunyai agenda untuk kepentingan peribadi. Sebagai seorang pejuang dan pemimpin peringkat tertinggi, beliau sepatutnya menunjukkan contoh yang terbaik dimana kepentingan parti perlulah diutamakan mendahului kepentingan peribadi.

Apabila saya kaji dan teliti terhadap kenyataan-kenyataan yang telah beliau keluarkan, saya dapati banyak kenyataan-kenyataan tersebut dimanipulasi dan beliau seolah-olah menipu ahli-ahli UMNO serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Kita hanya memerlukan pemimpin yang ikhlas dan jujur, bukan pemimpin yang cuba untuk memecahbelahkan parti.

Oleh yang demikian, jika YB. Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai sifat tanggungjawab terhadap ahli UMNO, beliau harus meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO. Ini disebabkan kerana, beliau kini telah menjadi satu bebanan kepada parti dan boleh menjadi punca ahli hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi UMNO.

Selaras dengan suasana politik semasa, saya menyarankan agar YB. Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO serta merta. Saya mohon agar beliau berehat dari arena politik dan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin lain yang boleh memberi kerjasama terhadap kepimpinan YAB Presiden UMNO untuk meneruskan perjuangan parti.

YBHG. DATO' JAMAL MD YUNOS
Ketua UMNO, Bahagian Sungai Besar
6hb Ogos 2015

0 comments:

Post a Comment